Wednesday, July 15, 2015

[Novel]: Cinta Jangan Kau Pergi Bab14.

Assalamualaikum.








"...You've gotta dance like there's nobody watching; Love like you'll never hurt; Sing like there's nobody listening; And live like it's heaven on earth..."








Bab 14
RIMAS benar melayani ulah manja Kathy. Terasa ruang luas pejabatnya jadi begitu sempit. Sedang nafas yang dihirup ikut bejat, tidak sekata. Apatah lagi, penampilan gadis itu cukup tidak mendapat tempat bagi matanya melihat. Segala-galanya bagai terkoyak di sana sini.
            “Listen Kathy, I’m busy right now.” Tegas Tengku Hanif berkata.
            “I tahu you busy...” Kathy bersuara perlahan. Seperti berjauh hati. Dia menjarakkan kedudukan, bawa kaki ke punjuru ruang itu, berhampiran jendela.
            “So?” Soalan itu dimuntahkan acuh tidak acuh. Tengku Hanif tidak berminat hendak membazirkan keseluruhan masanya untuk anak gadis pasangan Tuan Baki dan Puan Mardhiha.
            Dada menghempas deru nafas yang mendesah kasar. Kathy ketap bibir. Leret mata begitu tajam menikam paras Tengku Hanif. Kewujudannya sedikit pun tidak dipeduli. Apa dia tunggul, atau halimunan?
            “You ni memang tak reti hormat tetamu, kan?” perli Kathy. Daripada berdiri tegak bagaikan tiang, kini dia labuh duduk di kerusi kulit, berlapis empuk yang mendepani Tengku Hanif. “I datang, tak pun you sambut elok-elok. Lepas tu, siap suruh I balik.”
            Jari-jemari terhenti menari di atas papan kekunci. Kepala diangkat, menjulang ke arah Kathy. Anak mata umpama dipaksa-paksa supaya menatap keadaan Kathy yang cukup menyakiti deria penglihatan.
            “And you pun, cara you datang tak beradab.” Tengku Hanif membidas sinis.
            Buntang mata Kathy. “You ni, sengaja nak sakitkan hati I,” bentaknya.
            “You nak apa sebenarnya?” Rendah pula suara yang dilontar keluar.
            “I nak you.”
            “Nak I?” Ketawanya terburai.
            “Yes, I want you. Be my husband.” Kathy berterus-terang. Lagi pula, memang itu yang dikehendaki Datin Sabrina. Dan dia tahu, Tengku Hanif sudah maklum tentang perkara itu.
            Gelak tawa tadi beransur sepi. Lelaki itu lebih selesa melenturkan otot muka, melarik sebuah senyuman halus. Sejurus itu, Tengku Hanif geleng kepala. Berkali-kali.
            “My mum tu... memang suka bergurau,” dalih Tengku Hanif.
            “Tapi I serius,” tegas Kathy.
            Sisa herot nipis tadi langsung lebur. Renungan keduanya saling berpadu. Hambatan itu seakan mengalirkan dua aura yang berbeza.
            “Assalamualaikum... Tengku...” Ketukan itu membuatkan Tengku Hanif membawa pandangan ke arah pintu. Terjengul muka Nurul Ain di tengah pintu yang merenggang sedikit.
            “Yes?” Tengku Hanif berdiri. Spontan.
            “Kopi.” Nurul Ain memberitahu. Dia hanya mula menginjak lantai bilik itu apabila Tengku Hanif memberi keizinan.
            Kathy ikut bangun. “Untuk I?”
            Nurul Ain menoleh.
            “Emm... sekejap ya. Saya tak tahu Tengku ada tetamu,” kata Nurul Ain. Ingin cepat-cepat mendapatkan troli di luar sana.
            “Cik nak air apa?” Sempat dia bertanya.
            “No, thanks,” tutur Kathy seraya mengulum senyum kecil.
            “Nurul Ain...” Tengku Hanif mara beberapa langkah ke depan.
            Kaki yang diinjak berhenti serta-merta. Tubuh berpusing menghadap arah datangnya suara itu, namun pandangan kekal di paras kebiasaan. Tidak pernah lagi ditatap secara teliti wajah sang pemberi arahan.
            “You dah sediakan kopi Datuk?” Soalan sama dilontar kembali saat bayang Nurul Ain muncul di dalam ruang dingin ini.
            “Sekejap lagi, saya naik atas.” Dan Nurul Ain juga kekal mengatur ayat serupa. Seolah dialog yang sudah dirakam dan akan diulang sehari-hari.
            “Thank you.” Lambat-lambat, dia bawa kaki menghampiri kerusi bertayar lima, diperbuat daripada kulit berkilat. Punggung dihenyak dengan selesa.
            “Most welcome, Tengku.” Balasnya lembut.
            “You suka... perempuan tu?” Kathy menompang dagu. Bayang Nurul Ain sudah hilang seluruhnya.
            Tengku Hanif mencari wajah Kathy. “You cakap apa?” ajunya seumpama mengalami kekeliruan.
            Kathy menggeleng. Beg tangan dicapai.
            “I nak baliklah. Bosan dekat sini,” gumamnya.
            “And don’t forget, Hanif... I ni bakal menantu pilihan your mum. Kalau your mum paksa, you memang akan kahwin dengan I. So... please... layan I baik-baik sikit.” Amaran itu bagaikan satu candaan di pendengaran Tengku Hanif. Sampai ke telinga leret senyumnya.
            Kadang ketika, ulah Kathy mampu membuarkan rasa gelihati.
            Selebihnya hanya menambah rasa sakit kepala, sakit jiwa, dan sakit hati.

“MAHU ke anak awak dekat anak kita?” Puan Mardhiha menduga-duga.
            Datin Sabrina menepuk peha wanita seusianya. Kemudian, leret senyum dilebarkan supaya tampak benar bersungguh.
            “Apa pula tak mahu? Kathy tu cantik, manis. Pula tu... pandai ambil hati kita. Yang penting, hormat orang tua.” Berjela-jela ayat pujian buat santapan halwa telinga Puan Mardhiha.
            Puan Mardhiha tersenyum tawar. “Alah... anak kita tu banyak sangat kurangnya. Tengoklah cara dia tu, terbawa-bawa perangai orang putih. Baju tak pernah nak cukup, Na oi. Sakit mata kita ni. Penat tegur, sama juga. Letih mulut ni,” keluh Puan Mardhiha.
            “Biasalah tu. Budak muda,” tuntas Datin Sabrina.
            “Muda pun, tapi tak kena gaya.” Puan Mardhiha membidas pula.
            Tawa Datin Sabrina meletus kecil. “Buruk baik dia tu, kita terima, Diha.”
            “Anak bujang awak tu, nak ke terima?”
            “Kena terima. Ini pilihan kita tau. Lagipun, kita jamin, esok lusa... Kathy akan berubah... percayalah.”
            Nampak benar yakin Datin Sabrina berbicara seperti itu. Puan Mardhiha sekadar mengaminkan dalam hati. Besar harapan dia melihat Kathy berubah penampilan, sekaligus menutup segala keterbukaan yang mengundang dosa pada mata-mata yang melirik nakal.
            “Dulu pun... kita pernah berjanji dengan kakak awak. Konon nak jodohkan anak-anak kami.” Puan Mardhiha mula mengimbau kenangan lalu. Gelak tawa mereka seakan bergema di telinga. Saling berganti dengan ikat janji yang konon mahu menyatukan anak-anak mereka, walha kedua-duanya masih terlalu kecil.
            “Irsyad tu?”
            Puan Mardhiha mengangguk. “Rupanya tak ada jodoh. Irsyad pun dah nak kahwin.”
            “Itulah. Kita ni merancang aje, tapi Dia yang tentukan. Tak panjang usia mereka anak-beranak,” keluh Datin Sabrina.
            “Tak salah kita, dah lebih dua puluh tahun kemalangan tu berlaku, kan?” Dalam ingat-ingat lupa, Puan Mardhiha cuba menyelongkar memori duka keluarga hartawan berkenaan. Oleh kerana datuk dan nenek mereka saling bersaudara, maka mereka turut sama terkena tempiasnya.
            Terangguk-angguk kepala Datin Sabrina sebagai tanda membenarkan bicara itu. Sedang fikiran dia dirangkul bayang paras Nur Aminah. Juga wajah mongel Dayang Nur Aisha. Spontan, elusan nafas berat melepasi rengkungan.
            “Mummy! Eh... Auntie pun ada?” Kathy mempercepatkan langkahnya. Puan Mardhiha disalami. Setelah itu, berlaga pipi pula dengan Datin Sabrina.
            “Kathy dari mana ni?” Naik juling mata Puan Mardhiha melihat lekuk-lekuk tubuh anak daranya.
            “Mummy rasa?” Senyumnya dileret-leret sampai ke telinga. Rambut panjang hitam berkilat dilurut lembut.
            “Mummy tak suka nak main teka-teki dengan kamu,” dengus Puan Mardhiha. Kathy sudah tertawa kecil.
            “Mummy ni... macam biasalah. Kathy jumpa future son in-law mummy.” Kerlingannya membelah pandangan redup Datin Sabrina.
            “Hanif?” Sengaja diluncurkan nama itu.
            Kathy memetik jari. “You’re correct, auntie! I jumpa anak you.”
            Di pihak Puan Mardhiha, jelas dia tidak menyenangi ulah Kathy. Kalau pun benar keduanya bakal disatukan atas rencana keluarga, Kathy masih seorang perempuan. Batasnya tetap ada.
            “Kathy naik atas dululah...” pamit Kathy.
            “Auntie... I naik atas dulu. Balik nanti, kirim salam sayang I dekat Hanif.” Mata dikenyit nakal.
            Datin Sabrina sembunyi tawa, sedang Puan Mardhiha melorot lenggang si anak dengan nafas yang tersekat-sekat.
            “Tengoklah tu... dengan awak pun nak ber ‘I’, ber ‘you’.” Puan Mardhiha mencebik.
            “Biasalah, budak muda.” Datin Sabrina kekal berpihak kepada Kathy.
            “Kita ni bukan apa, Na... tengok anak orang terlalu terbuka sangat, bersitighfar panjang. Bila tengok anak sendiri, serupa juga. Lagi panjang istighfarnya.”
            “Kathy tu darah muda, Diha. Suka berfesyen, cantik-cantik...”
            “Pening kepala kita ni, Na. Kalau awak tak nak berbesan dengan kita pun, kita tak kisah. Kalau Hanif tak sudi memperisterikan Kathy, kita faham.” Bersungguh Puan Mardhiha melontar bicara.
            Jari telunjuk diangkat tinggi. Sejurus itu bergoyangan membelah udara yang membawa bayu lesu.
            “Kan kita dah cakap tadi, buruk baik Kathy tu... kita terima. Kathy tu... mesti akan berubah. Insya Allah.” Otot muka melentur senyum kecil. Bulat hati dia hendak bermenantukan Kathy. Mahu tidak mahu, Tengku Hanif akan akur atas kehendaknya. Bukankah Tengku Hanif seorang anak yang baik dan menurut kata?

DIA nampak. Jelas.
            Tubuh dihempas kasar. Pandangan mata menjulang kipas yang berputar perlahan, meniupkan angin halus.
            Perempuan macam itukah yang menjadi santapan penglihatan Tengku Hanif? Bukan perempuan seperti dia? Di luar sana, ramai mendambakan dirinya. Ramai memuji dan terus mengangkat dia sebagai seorang jelitawan. Tetapi, berbeza dengan Tengku Hanif. Jangankan pandang, melirik jauh sekali. Seolah perhiasan dan segala kecantikan yang ada tidak menarik perhatian lelaki itu.
            Daripada terlentang, dia bangkit. Duduk menongkat dagu.
            “Nurul Ain...” Bibirnya bergerak-gerak membutirkan sebaris nama itu. Gadis biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Tubuhnya cukup sempurna dibaluti busana bagi menyembunyikan apa yang dia selalu pamer dengan kemegahan.
            “Mummy.... nanti bila besar, adik nak kahwin dengan Abang Hanif, boleh?”
            Permintaan dia sewaktu kecil kembali berlegar di jendela pendengaran. Membangkit satu perasaan hangat dalam jiwa. Selajur memutikkan segarit senyuman kecil.

“SAMPAI bila nak tenung cincin tu?” Datuk Awang Kader mengerling ulah sang isteri. Selajur ulas bibir melentur senyum kecil.
            “Abang ni...” Cincin tadi diletak kembali dalam kotak baldu biru gelap. Terasa melonjak hati menunggu kepulangan Tengku Hanif.
            “Awak tu, baik telan aje benda tu.”
            Bulat mata Datin Sabrina mendengar sindiran suaminya. Geram pula jadinya. Dalam segala hal berkaitan niat dia bermenantukan Kathy, mereka tidak pernah sebulu. Suami dan anaknya, sekapal.
            “Karang saya telan benda ni, terkejut abang.” Datin Sabrina membalas.
            Buraian tawa Datuk Awang Kader memenuhi segenap ruang tamu. Benar-benar gelihati mendengar jerkahan Datin Sabrina.
            “Sampai masa nanti, kita pergi meminang Kathy, ya bang,” saran Datin Sabrina. Cincin itu sudah ditolak ke tengah meja.
            Sorot mata Datuk Awang Kader melewati paras Datin Sabrina. Hal berkaitan masa depan Tengku Hanif, kalau boleh dia tidak ingin ikut masuk campur. Biarlah anak muda itu menentukan siapa yang bakal berdiri di sebelahnya. Namun kelihatan Datin Sabrina sudah bulat hati. Cuma sehingga sekarang, Tengku Hanif masih punya ulah sendiri, akal panjang untuk menepis setiap desakan wanita itu.
            “Suka hatilah.” Dia menyahut acuh tidak acuh.
            Spontan, Datin Sabrina memaling muka.
            “Eh, abang setuju?”
            “Kalau saya bantah, awak tetap nak pinang Kathy tu, kan?” Kening dijongket tinggi.
            Datin Sabrina sembunyi senyum. Senang hati dia mendengar ungkapan bicara itu. Sekurang-kurangnya, walau tidak sependapat, suaminya sudah angkat bendera putih. Meski sekapal dengan Tengku Hanif, lelaki itu tidak akan membangkang bersungguh-sungguh. Dalam kepala sendiri, mula merencana pujukan untuk merobohkan kedegilan Tengku Hanif.
            “Bang...” Datin Sabrina berkalih posisi duduk. Punggung dibawa berlabuh di sisi Datuk Awang Kader.
            “Sejak akhir-akhir ni, saya tengok bilik bacaan abang tu asyik berganti bunga aje. Mana datangnya? Sebelum ni tak ada pun.” Kemusykilan itu diluncur laju. Wajahnya jadi berkerut-kerut memikirkan kuntuman bunga yang kerap dibawa pulang oleh Datuk Awang Kader. Setiap hari, pasu bunga kaca  itu berganti penyeri.
            “Bunga dekat pejabat.” Datuk Awang Kader menjawab ringkas.
            Bertambah dalam kerutan merauti roman Datin Sabrina. “Eh, pejabat abang tu bukan taman bunga tau.”
            “Awak cemburu ke?” usik Datuk Awang Kader.
            Datin Sabrina memasamkan muka. Ketat. “Menyampah!” dengusnya.
            Datuk Awang Kader meleret senyum.
            “Dah tua-tua ni, tak payah nak cemburu sangat. Tak ada siapa pun yang berkenan dekat saya ni.”
            “Siapa kata?” Datin Sabrina berpeluk tubuh.
            “Orang sekarang ni, tak pandang rupa dah. Kalau berharta, itulah yang dikejar. Tak kisahlah... dah tua bangka ke, asal banyak duit. Bermadu pun sanggup! Yang lelaki pun ikut menggatal. Tak sedar diri gamaknya.”
            Mendengar bebelan itu, Datuk Awang Kader menyulam sengihan lebar. “Saya tak macam tu. Setia pada yang satu.”
            Ekor mata Datin Sabrina menebak kerlingan tajam. Membelah redup pandangan suaminya. “Saya tak cakap abang pun.”
            “Iyalah, mana tahu awak mengata saya.”
            “Eh, tak makan cili pun boleh rasa pedas? Ke dah termakan cili juga?” Bulat mata Datin Sabrina.
            Terkekeh-kekeh Datuk Awang Kader ketawa. “Saya ni makan cili yang pokoknya ditanam dekat tanah. Cili lain, saya tak makan.”
            Otot muka mulai mengendur. Sedikit demi sedikit, ulas bibirnya melentur senyum. Dia tahu, Datuk Awang Kader bukanlah lelaki mata keranjang. Luhur sifatnya memang sedia diketahui sejak dulu lagi.
            “Abang nak air? Saya buatkan...” Dia berdiri.
            “Boleh juga. Asyik ketawa dari tadi, jadi kering pula tekak ni,” ujar Datuk Awang Kader sambil menggosok-gosok leher.
            “Banyak sangat ke kerja dekat pejabat tu, bang? Si Hanif ni, makin lama, makin menjadi-jadi pula lewat baliknya.” Sempat lagi dia memuntahkan perihal putera satu-satunya yang dimiliki. Tidak jadi melangkah ke ruang dapur.
            “Biarkanlah dia. Tak payah nak risau sangat. Tahulah dia cari jalan balik rumah ni. Cepatlah, Na. Tekak saya haus sangat ni.” Segera didesak sang isteri agar menghidang minuman buatnya. Lagi pula, dia ingin mematikan bebelan Datin Sabrina terhadap Tengku Hanif. Segala perilaku sang anak bagai terikat. Hendak diselidiki luar dalam walhal Tengku Hanif sudah cukup dewasa.

            Sejurus Datin Sabrina bergegas ke dapur, kaki dikemudi menuju ke bilik bacaan, terletak berhampiran tangga, bersebelahan bilik musollah. Tombol besi berliku nipis dipulas dan daun pintu ditolak perlahan. Pandangan ditebar ke merata arah sebelum pegun menatap pasu kaca yang dihiasi kuntuman aster.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Been busy! :)